~Destinasi : Taman Tamadun Islam









Taman Tamadun Islam merupakan sebuah kembara interaktif monumen Islam di serata dunia. Ia memberikan pendidikan dan hiburan informatif tentang destinasi Islam dunia.

Terletak di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, taman seluas 23 hektar ini adalah sebahagian daripada projek untuk membangunkan Kuala Terengganu sebagai bandar tebingan sungai. Taman Tamadun Islam ini terbahagi kepada dua zon: Kompleks Taman Tamadun Islam dan Zon Awam.

Taman Tamadun Islam adalah taman tema pertama yang mengiktiraf senibina Islam. Kompleks ini menempatkan 21 replika bangunan berkaitan sejarah Islam dunia.

Tarikan utama di sini termasuk Masjid Negara (Malaysia), Dome of the Rock (Palestin), Masjidil Haram (Arab Saudi), Al-Hambra Citadel (Spain) dan Taj Mahal (India).

Terdapat juga Mimbar Kalyan (Uzbekistan), Makam Abu Nasr (Afghanistan), Mimbar Berputar Samarra (Iraq), Masjid Mohd Ali (Kaherah), Masjid Besar Qairawan (Tunisia), Masjid Besar Agadez (Nigeria), Aleppo Citadel (Syria), Masjid Kul Syarif (Russia) dan Mimbar Xian, China.

Ikon bagi Taman Tamadun Islam ialah Masjid Kristal, yang menjadi mercu tanda baru bagi Kuala Terengganu.

Masjid unik ini diperbuat dari kristal kaca dan besi yang telah dibuka secara rasminya oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 8 Februari 2008.


Tips


Ini adalah taman tema pertama di dunia mempamerkan keagungan kesenian kebudayaan Islam. Layari laman web: www.tti.com.my


Pengangkutan


Teksi, Pengangkutan Awam
Perkhidmatan bas dari bandaraya ke taman ini sudah beroperasi. Selain itu, terdapat pengangkutan teksi dari pusat bandar ke taman tersebut.

Bot penambang
Pelawat juga boleh menggunakan bot penambang dari jeti Shahbandar ke jeti Tok Ku Paloh, yang terdapat di taman itu.

~Destinasi : Pantai Tanjung Jara






Saksikan ketenangan Laut China Selatan, saat anda berada di pantai dengan pasir halus di sini.

Terletak berdekatan Laut China Selatan, Pantai Tanjung Jara mempunyai kawasan pasir halus keemasan yang menarik. Alami pengalaman luar biasa melihat matahari naik serta terbenam dengan hembusan lembut bayu laut di wajah anda.

Pantai ini juga lokasi menarik untuk luncur air, menaiki bot, kayak, menyelam dan pelbagai sukan air lain.

Penyu turut datang ke kawasan pantai ini sewaktu musim penyu bertelur antara bulan-bulan Mei hingga September.


Tips


Saksikan penyu di malam hari antara bulan Mei dan September apabila penyu-penyu naik ke pantai untuk bertelur.


Pengangkutan


Bas
Beli tiket bas di Stesyen Bas Putra, tiket Kuala Lumpur ke Dungun, Terengganu. Bas tempatan: Ambil bas dari stesyen bas Dungun ke Tanjung Jara.

Kereta
Jika anda memandu dari Kuala Lumpur, gunakan lebuh raya timur (lebuh raya Karak) ke arah Kuantan. Masa perjalanan sekitar 3½ jam. Setelah anda tiba di Kuantan, ikut arah timur laut di lebuh raya 3 (pesisiran pantai) hingga sampai di Dungun. Dari Kota Baharu pula, ikut arah selatan menggunakan lebuh raya 3 (pesisiran pantai) hingga tiba di Chukai.

Kapal Terbang
Terdapat penerbangan ke Kuala Terengganu menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan Air Asia. Dari lapangan terbang, ambil teksi ke Tanjung Jara.


Penginapan


Terdapat beberapa kemudahan penginapan di kawasan ini mulai hotel bertaraf 5 bintang ke hotel bajet, villa dan pelbagai pilihan untuk pengunjung ke sini. Bagi mereka yang mahukan pengalaman unik percutian di Malaysia, anda boleh bercuti di Tanjong Jara Resort, yang terkenal dengan senibina unik istana Melayu lama kurun ke-17. Laman web mereka ialah di http://www.tanjongjararesort.com

~Destinasi : Pulau Perhentian







Pulau Perhentian sememangya destinasi yang mesti dikunjungi. Pulau ini terletak 21km dari pinggir pantai Terengganu dan terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Pulau Perhentian Kecil. Pulau Perhentian yang dilitupi hutan yang bersih, pepohon kelapa, pantai yang putih dengan pasir yang halus dan dikelilingi air laut yang biru dan jernih merupakan tempat persinggahan nelayan, burung-burung yang berhijrah dan pelancong yang datang bercuti di sini.

Lokasinya di pinggiran kawasan Taman Laut Pulau Redang bermakna perairan di sekitar pulau ini ditaburi terumbu karang dan menawarkan pemandangan bawah laut yang hebat untuk aktiviti menyelam skuba dan snokel. Lawatan bot ke pulau-pulau boleh diaturkan dan bot juga boleh disewa oleh pelancong yang ingin meneroka teluk-teluk yang terselindung. Pelancong yang gemarkan aktiviti meluncur papan air, belayar, berkenu dan memancing laut-dalam juga mesti berkunjung ke pulau ini.

Antara dua pulau ini, Pulau Perhentian Kecil lebih sesuai untuk pelancong yang gemar aktiviti lasak. Di sini anda boleh mendapatkan pelbagai pilihan tempat penginapan dan makanan yang murah. Sebaliknya, Pulau Perhentian Besar, lebih membangun dan menawarkan kemudahan yang lebih selesa dan sempurna. Walau bagaimanapun, kemudahan calet, asrama dan tapak perkhemahan boleh di dapati di kedua-dua buah pulau ini.


Tips


Untuk melihat pemandangan matahari terbenam yang paling mempesona di Pulau Perhentian, tuju ke Coral View Island Resort dan pesan minuman yang sejuk segar dari café di sini dan nikmati pemandangan yang memikat hati ini.


Pengangkutan


Jalan Darat
Dari Kuala Terengganu, naiki teksi atau bas ke pelabuhan Kuala Besut. Pelabuhan ini terletak kira-kira sejam perjalanan di utara bandar Kuala Terengganu. Jeti untuk ke Pulau Perhentian terletak di sini.

Jalan Laut
Di Kompleks Perikanan, naiki bot yang menuju ke Pulau Perhentian. Perjalanan bot ke pulau ini memakan masa selama satu jam.


Penginapan


Pulau berkembar ini menawarkan pilihan hebat pelbagai jenis tempat penginapan dari rumah tumpangan yang murah hinggakan resort bertaraf 4-bintang. Jika anda ke sini untuk menyelam skuba, anda disarankan menempah tempat penginapan sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

~Destinasi : Pulau Tenggol






Pulau Tenggol merupakan sebuah lagi destinasi menyelam yang mempesona dan terletak hanya 45 minit dari persisiran pantai Kuala Dungun di bahagian selatan negeri Terengganu. Pulau ini kecil - hanya 3 km panjang dan 2 km lebar. Bagaimana pun, ini tidak menghalangnya dari dianggap sebagai 'syurga' lebih-lebih lagi di kalangan penggemar aktiviti menyelam skuba.

Pedalaman pulau ini dipenuhi tebing batu yang curam. Bentuk mukabumi yang berbatu ini mengunjur dari pedalaman pulau terus hingga ke laut membentuk pinggir tebing yang curam di bawah laut - seperti dinding kanvas bagi hidupan laut - yang tidak jemu di kunjungi penyelam skuba.


Tips


Berhati-hati dengan arus deras di Tenggol sekiranya anda menyelam di sini. Kebanyakan sesi menyelam dirancang di waktu perantaraan air pasang-surut, apabila laut lebih tenang. Namun demikian, arus laut mungkin kuat - sesuai untuk selaman hanyut!


Pengangkutan


Jalan Darat
Naiki bas atau teksi ke pekan Dungun. Dari Kuantan, naiki bas di Terminal Jalan Besar. Jika anda datang dari Kuala Terengganu, naiki bas di Stesen Bas Pusat Syed Hussin.

Jalan Laut
Dari jeti Dungun, naiki bot untuk pergi ke Pulau Tenggol.


Penginapan


Pulau ini mempunyai resort yang selesa, tetapi pelawat disarankan menempahnya sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam skuba yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

~Destinasi : Pulau Lang Tengah




Pulau Lang Tengah ialah sebuah pulau kecil yang terletak di antara Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Perjalanan bot dari jeti Marang ke Pulau kecil ini memakan masa selama 30-minit.

Menurut penduduk tempatan, Lang Tengah mendapat namanya dari perkataan 'Lang' yang bermaksud 'helang'. Dikatakan bahawa Lang Tengah bermakna 'helang yang berehat di pulau tengah'.

Pulau Lang Tengah memang bersaiz kecil. Perjalanan bot mengelilingi pulau ini hanya mengambil masa selama 10 minit. Pantai di sini agak sempit dan kawasan tanah adalah terhad.

Saiznya yang kecil juga adalah kelebihannya - Pulau Lang Tengah hanya mempunyai 4 buah resort untuk memastikan percutian anda di sini aman dan tenteram.

Pulau ini juga adalah antara tapak menyelam yang terbaik di Malaysia!


Tips


Pulau Lang Tengah sukar dikunjungi sewaktu musim hujan di pantai timur (November - Mac).


Pengangkutan


Bot
Feri bertolak dari Jeti di Merang pada pukul 10.00 pagi dan 12.00 tengahari dan bertolak balik dari pulau pada pukul 8.30 pagi dan 2.00 petang.


Penginapan


Pulau ini mempunyai resort yang selesa tetapi pelawat disarankan menempahnya sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam skuba yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

~Destinasi : Pulau Kapas





Pulau Kapas yang terletak kira-kria 6km dari pinggir pantai Marang ialah sebuah pulau yang tersohor dengan air lautnya yang jernih, pantai berpasir putih dan lambaian pohon kelapa yang gemalai. Pulau ini yang agak terpencil, jauh dari kesibukan di tanah besar merupakan destinasi yang paling sesuai untuk mereka yang mencari tempat untuk ketenangan dan berehat. Pelbagai jenis batu karang lembut dan keras, ikan, penyu dan hidupan laut lain yang menarik menjadikannya destinasi wajib bagi penyelam skuba dan perenang snokel yang arif.

Suasana pulau yang santai ini memberi keselesaan kepada pelawat untuk berehat di sini. Selain itu terdapat pelbagai aktiviti di sini untuk memenuhi masa lapang anda. Pilih sahaja kesukaan anda : menyelam, berenang, snokel, luncur papan air, kayak, menaiki bot atau memancing.


Tips


Pulau Kapas sukar dikunjungi sewaktu musim hujan di pantai timur (November - Mac).


Pengangkutan


Jalan Darat (Bas)
Perjalanan bot dari Marang ke Pulau Kapas memakan masa selama 30 minit.



Penginapan


Pulau ini mempunyai resort yang selesa tetapi pelawat disarankan menempahnya sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan

~Destinasi : Pulau Redang






Pulau Redang yang terletak 45km dari pinggir pantai Kuala Terengganu merupakan pulau terbesar dari gugusan sembilan buah pulau yang terlindung di Laut China Selatan.

Pulau ini menawarkan air laut yang jernih dan beraneka tapak selaman skuba bagi penggemar aktiviti menyelam. Perairan yang terlindung di sekitar Taman Laut Pulau Redang ini kaya dengan pelbagai jenis hidupan laut yang cantik dan menarik.

Di waktu tengahari, apabila matahari bersinar terang menebusi air laut, kelihatan jelas terumbu karang yang beraneka jenis, anemone, dan ikan-ikan yang berwarna-warni

Perairan di sekitar Pulau Redang juga mengandungi dua bangkai kapal karam : Kapal H.M.S. Prince of Wales dan H.M.S. Repulse yang karam di sini sewaktu Perang Dunia Kedua yang membolehkan tentera Jepun menakluki Malaya.

Pulau yang indah ini amat sesuai untuk aktiviti snokel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan menaiki kanu. Oleh kerana Pulau Redang telah diwartakan sebagai Taman Laut, aktiviti memancing tidak dibenarkan dalam kawasan lingkungan sejauh 3.2km dari pulau.

Pelawat juga dilarang mengumpul batu karang atau sebarang hidupan laut yang lain. Berjaya Resort di sini menawarkan kemudahan padang golf dengan persekitaran yang mempesona.


Tips


Pulau Redang adalah lebih besar dan mempunyai lebih banyak aktiviti berbanding dengan kedua-dua Pulau Perhentian yang berdekatan.


Pengangkutan



Bot
Mulakan penerokaan pulau-pulau di sini dengan menaiki bot di salah satu jeti di Kuala Terengganu dan Merang. Perjalanan bot ke Pulau Redang memakan masa selama satu jam dari Kuala Terengganu dan 50 minit dari Merang.



Penginapan


Taman Laut ini menawarkan pelbagai pilihan tempat penginapan dari rumah tumpangan yang murah hingga resort bertaraf 5-bintang. Jika anda ke sini untuk menyelam skuba, anda di sarankan menempah tempat penginapan sebagai sebahagian dari pakej percutian menyelam yang merangkumi makanan, sesi menyelam dan tempat penginapan.

~Destinasi : Istana Maziah





Dibina dengan senibina Perancis, Istana DiRaja ini menjadi kediaman rasmi pemerintah negeri terdahulu. Kini, ia digunakan sewaktu upacara rasmi DiRaja atau majlis keraian rasmi negeri.

Terletak di Bukit Puteri di Kuala Terengganu, istana ini menjadi kebangaan rakyat negeri Terengganu. Ia masih digunakan untuk acara rasmi seperti pertabalan Sultan Terengganu, perkahwinan, serta meraikan kenamaan rasmi kerajaan negeri.

Istana Maziah sebenarnya dibina untuk menggantikan Istana Hijau yang terbakar dahulu. Istana Hijau dibina sewaktu pemerintahan Sultan Omar pada 10 Mac, 1870.

Arkitek pembinaan Istana Maziah ialah Tengku Chik Abu Bakar bin Tengku Abdul Jalil. Dia adalah saudara kepada Sultan Zainal Abidin III. Beberapa orang lain turut berjasa dalam menyediakan pelan dan menyiapkan Istana Maziah, iaitu Engku Besar Paduka Raja Sayyid Abdullah bin Zin Al-Idrus, Muhammad bin Abdul Rahim (Encik Mat), dan Dato’ Mata-Mata.

Bekalan kayu untuk membina istana datang dari Dungun dan diselia oleh Tengku Panglima Besar Tengku Muda Kechik. Bekalan batu-bata dan kapur pula diuruskan oleh Tengku Besar Paduka Indera.

Istana Maziah pada asalnya dibina dengan menggunakan campuran bahan binaan iaitu kapur, tanah liat, garam pasir, putih telur dan gula. Hampir 20 tukang kayu keturunan Melayu dan Cina bertanggungjawab dalam pembinaan Istana Maziah ketika itu.

Beberapa pengubahsuaian turut dilakukan sepanjang zaman pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920 -1942) dan Sultan Ismail Nasiruddin Shah (1945- 1979). Tambahan turut dibuat ke atas istana pada 1972 dan 1998.


Tips


Istana Maziah adalah kediaman rasmi Sultan Terengganu. Ia terletak di Bukit Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu.


Pengangkutan


Kapal terbang, kereta, bas atau teksi
Anda boleh ke Istana Maziah menggunakan Jalan Zultan Zainal Abidin atau Jalan Hiliran. Untuk ke Terengganu, anda boleh menggunakan kapal terbang, kereta, bas atau teksi.

~Destinasi : Rantau Abang




Satu lagi tempat yang sepatutnya termasuk di dalam jadual percutian pelancong ialah Rantau Abang yang terletak 60km ke selatan bandar Kuala Terengganu. Di sini, pelawat boleh menunggu dari tengah malam hingga ke subuh bagi melihat penyu belimbing yang besar naik ke darat untuk bertelur. Penyu-penyu ini merangkak perlahan-lahan di pasir putih untuk bertelur, meninggalkan gambaran yang tidak mungkin dapat dilupakan pelawat.

Penyu raksasa ini boleh membesar sehingga 2.5m panjang dan kadangkala seberat lebih dari 375kg. Rantau Abang ialah salah satu dari enam lokasi di dunia yang dikunjungi oleh penyu-penyu ini dari bulan Mei hingga September.

Penyu dan telur penyu ini adalah dilindungi. Telur penyu dikesan dan dialihkan oleh ahli sains ke pusat inkubator di mana persekitarannya akan dikawal bagi menentukan jantina penyu yang menetas sebagai usaha agar spesis ini terus wujud.


Tips


Setibanya anda di pantai ini, kunjungi Pusat Maklumat Penyu di sini bagi mempelajari lebih lanjut mengenai haiwan ini dan mengetahui tempat terbaik untuk melihat penyu bertelur.


Pengangkutan


Jalan Darat (Bas)
Perkhidmatan bas dari pekan Marang ke Rantau Abang disediakan setiap setengah jam.

~Destinasi : Tasik Kenyir




Tasik Kenyir yang cantik ini adalah tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara yang merentasi 260,000 hektar.

Tasik ini juga merupakan kawasan empangan batu-hidro-elektrik batu- batan terbesar di Malaysia. Apabila kawasan ini dibanjiri air, kebanyakan kawasan pergunungan berada di atas paras air, sekaligus membentuk 340 pulau buatan manusia.

Kawasan hutan hujan yang meliputi tempat ini juga mempunyai pelbagai spesies flora dan fauna. Ini termasuk koleksi paku-pakis liar, bunga orkid eksotik, burung kenyalang, gajah dan harimau bintang.

Ia turut menempatkan lebih 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies tumbuhan, 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.

Ini adalah kawasan percutian popular bagi pengunjung yang ingin dikelilingi kawasan hutan yang indah. Ia juga menjadi tempat kegemaran pemancing kerana menempatkan pelbagai spesies ikan sungai seperti Baung, Toman, Kelisa, Lampan dan Kelah.

Kawasan tasik ini juga popular untuk aktiviti kayak, naik bot, trek hutan, memandu kenderaan pacuan 4 roda dan bermain golf.

Tasik Kenyir juga pintu masuk ke Taman Negara melalui laluan Tanjung Mentong.


Tips


Tasik Kenyir terletak kira-kira 55 km dari Kuala Terengganu. Jeti Gawi ialah pintu masuk utama ke tasik itu yang terletak bersebelahan Pengkalan Utama. Jeti itu juga mempunyai perkhidmatan bot untuk mengelilingi kawasan pulau dan pertukaran ke resort di sini.


Pengangkutan


Kereta
Terdapat beberapa laluan alternatif untuk ke Tasik Kenyir. Jika anda menggunakan kenderaan dari Kuala Lumpur, ikut laluan ke Ajil melalui lebuh raya ke lebuh raya Jerengau-Jabor, kemudian menuju ke Kenyir. Pilihan lain ialah mengikuti laluan pesisiran pantai melalui Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan terus ke kawasan Tasik Kenyir.

Bot
Terdapat beberapa pengendali bot sewa dari Jeti Gawi, anda boleh menggunakan bot bertingkat atau bot kaca merentasi Tasik Kenyir. Anda dinasihatkan untuk membuat tempahan, ada beberapa agensi pelancongan yang menawarkan pakej percutian.

Kapal Terbang
Terbang dengan pilihan Malaysia Airlines atau Air Asia. Mereka terbang setiap hari ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Terengganu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, anda boleh menggunakan teksi dan terus ke Tasik Kenyir. Tambang adalah sekitar RM 60.00. Jika anda ke Kuala Berang, tambang sekitar RM30.00.

~Destinasi : Masjid Tengku Tengah Zaharah




Dikenali sebagai 'Masjid Terapung', senibinanya gabungan pengaruh moden dan 'Moor'. Ia kelihatan unik dan cantik pada malam hari.

Masjid Tengku Tengah Zaharah dibina di atas pelantar terapung, memberikan ia sudut unik. Ia terletak di sungai Terengganu dan salah satu senibina moden hasil salah seorang putera DiRaja Terengganu.

Masjid putih berkilauan turut menjadi ikon baru dalam senibina Islam di negara ini. Malah, pembinaan masjid ini turut memuatkan ciri setempat dengan penggunaan batu marmar, seramik dan bomanit.

Pembinaan masjid ini sebenarnya adalah inspirasi Almarhum Sultan Terengganu, Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah ibni al-Marhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Masjid ini dinamakan sempena ibunya, Tuanku Intan Zaharah binti Almarhum Tengku Seri Setia Raja.

Kedamaian masjid ini turut terserlah dengan keindahan Laut China Selatan, menjadikan ia suatu destinasi pelancongan yang menarik di Terengganu.


Tips



Masjid ini terletak di Teluk Ibai, hanya 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu dan berdekatan dengan kawasan pantai Terengganu.


Pengangkutan


Bas, Kereta
Masjid ini terletak di Jalan Sultan Mahmud, kira-kira 4 km dari pusat bandar Kuala Terengganu. Dari bandar Terengganu, anda perlu mengikut arah ke selatan menuju head Marang atau Kuantan menggunakan bas, atau memandu kereta. Setelah kira-kira 6 - 8 km, anda akan dapat melihat masjid di tepi jalan di sebelah kiri.

~Destinasi : Bazar Warisan




MEMILIKI reka bentuk menarik dan berhampiran Pasar Besar Kedai Payang dan Bukit Puteri, Bazar Warisan kini menjadi tumpuan pelancong yang pertama kali berkunjung ke Terengganu.

Mula dibuka Julai tahun ini, bazar yang dibina dengan kos RM18.4 juta di Jalan Sultan Zainal Abidin, kompleks perniagaan ini terletak di pinggir Kuala Terengganu, sejajar dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan kota ini sebagai bandar raya persisiran air.

Tambah menarik, reka bentuk kompleks tiga tingkat ini mempamerkan seni bina tradisional Terengganu. Sehingga kini, ia menempatkan pelbagai gerai pengusaha seni warisan tradisional termasuk sutera, batik, songket, tembaga dan cenderamata.

Bersebelahan bazar ini, pengunjung dapat melihat pemandangan indah Bukit Puteri yang menyimpan peristiwa penting dalam sejarah negeri ini. Menara pemerhati dan meriam lama yang masih dipulihara dengan baik, boleh dilihat apabila anda mendaki ke puncak bukit itu.

Pembinaan lif dan tangga bergerak dapat memudahkan orang ramai untuk naik ke tingkat dua dan tiga bangunan itu. Ruang pejalan kaki yang luas juga boleh memberi keselesaan kepada orang ramai untuk bergerak bersama keluarga.

Selepas penat berjalan, orang ramai boleh berehat seketika di beberapa wakaf tempat duduk di hadapan bazar itu. Ada pengunjung mengambil kesempatan bergambar kenangan di beberapa sudut bangunan ataupun menghala ke Bukit Puteri menerusi laluan di tingkat tiga bangunan.

Di tingkat tiga juga, pengunjung boleh menyaksikan keindahan muara Sungai Terengganu. Dari sini, Pulau Duyong yang menjadi lokasi utama penganjuran sukan layar antarabangsa, Piala Monsun dan bot kecil yang berulang-alik ke Kampung Seberang Takir.

~Destinasi : Pasar Payang



Pasar Pusat yang dikenali sebagai Pasar Payang terletak di tepi Sungai Terengganu dan merupakan salah sebuah destinasi pelancong yang paling terkenal di Kuala Terengganu. Pasar yang terletak di dalam sebuah bangunan moden ini menawarkan pelbagai jenis hasil kraftangan tradisional seperti batik, kain sutera, songket, kain brocade and barangan logam serta sayur-sayuran yang segar.

Pelawat yang berkunjung ke pasar ini tentu seronok membeli barangan tempatan di sini pada harga yang murah. Pasar ini juga merupakan tempat yang sesuai untuk memerhati dan memahami budaya di sini sambil memerhati penduduk tempatan sibuk membeli-belah di sini.


Tips


Sewaktu di sini, cubalah menjamu selera dengan hidangan tempatan istimewa - Keropok Lekor - keropok rangup yang dibuat dari campuran ikan dan tepung sagu. Keropok ini lazimnya dimakan bersama sos cili. Sungguh enak!


Pengangkutan


Jalan Kaki atau Teksi
Pasar Payang terletak di tengah bandar Kuala Terengganu dan mudah untuk ke sini walau di mana anda menginap.

~Destinasi : Muzium Negeri Terengganu





Ini adalah kompleks muzium terbesar di Asia Tenggara, dengan menempatkan empat blok utama selain mempunyai muzium maritim dan lima rumah tradisional.

Ia dibina dengan landskap taman yang indah, dan mengembalikan kegemilangan Terengganu yang kaya dengan sejarah budaya yang kekal sehingga ke hari ini.

Terletak di atas 27 hektar tanah di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini menyerlahkan senibina yang menarik mendapat inspirasi dari istana lama di Terengganu.

Ia menempatkan sebuah muzium utama, muzium maritim, muzium perikanan, empat rumah tradisional, dan taman botani serta taman ulam.

Muzium utama mempunyai galeri yang mempamerkan tekstil, teknik anyaman, senjata tradisional, perkembangan petroleum, seni Islam dan banyak lagi.


Tips


Kaunter tiket terletak di Jeti Shahbandar, berhadapan Pejabat Pos Utama. Harga tiket ialah RM 5 seorang.


Pengangkutan


Kereta
Mereka yang ingin memandu sendiri ke Muzium, harus mengambil laluan ke Kampung Losong yang terkenal dengan pembuatan keropok lekor. Muzium itu dapat dilihat di atas Bukit Losong.

Bas
Hanya 15 minit perjalanan menggunakan bas dari stesyen bas MPKT ke Muzium atau Losong.

Teksi
Dari Stesyen Teksi Kuala Terengganu, perjalanan hanya 10 minit untuk ke muzium.

Sejarah Terengganu




Sejarah Terengganu yang awal adalah tidak jelas. Namun begitu terdapat catatan mengenai Terengganu oleh saudagar Cina, Chao Ju Kua pada tahun 1225 yang menyebut sebagai jajahan takluk Palembang.
"Negarakartagama", tulisan Prapanca dari Jawa pada tahun 1365, menyatakan bahawa Terengganu, Paka dan Dungun di bawah taklukan Majapahit. Berdasarkan bukti arkeologi seperti kapak batu dan tembikar yang dijumpai di Gunung Bewah, terdapat manusia tinggal di situ sejak 4000 SM. Pada Batu Bersurat Terengganu terdapat pula catatan nama Raja Mandalika. Seterusnya dalam sejarah Terengganu, terdapat pemerintahan bernama Megat Panji Alam dan juga Tun Telanai.
Terengganu kemudiannya disebut sebagai negeri di bawah pemerintahan kerajaan Johor. Pada ketika itu, dua orang pembesar Johor, Laksamana dan Paduka Megat Seri Rama, dihantar memerintah Terengganu. Seterusnya, Bendahara Hasan pula dihantar mentadbir Terengganu. Berikutnya, Terengganu ditadbir oleh Tun Zain Indera, kemudiannya, oleh anak Tun Zain Indera, Tun Yuan, Tun Sulaiman dan Tun Ismail; Tun Sulaiman sebagai sultan di Pantai Layang ( Balik Bukit ), Tun Yuan sebagai Bendahara dan Tun Ismail sebagai Menteri Tersat.
Pengasas Kesultanan Terengganu sekarang ialah Sultan Zainal Abidin I. Baginda yang juga dikenali dengan panggilan "Bendahara Padang Saujana" ialah putera Tun Habib Abdul Majid. Mengikut buku Tuhfat al-Nafis, karangan Raja Haji, Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu oleh Daeng Menampuk atau Raja Tua di atas pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Sumber yang lain pula dinyatakan Tun Zainal Abidin ditabalkan di atas tahta Kerajaan Negeri Terengganu oleh Phra Chau Yang, Raja Pattani.
Mengikut hikayat Johor serta Pahang, Tun Zainal Abidin datang ke Pattani setelah Paduka Raja Laksamana Wan Abdul Rahman dibunuh di Terengganu disekitar 1688. Ketika berada di Pattani, Tun Zainal Abidin dijadikan anak angkat oleh Raja Pattani, Phra Nang Chau Yang.
Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu pada tahun 1708. Ini berdasarkan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin dan tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708). Sultan Zainal Abidin I tidak lama bersemanyam di Tanjung Baru, Kuala Berang, berpindah ke Kota Batang Mahang, ke Langgar dan ke Pulau Manis. Kemudian berpindah lagi ke Chabang Tiga, Kuala Terengganu dan akhirnya di kawasan berhampiran Bukit Keledang (kini dipanggil Kota Lama).

Sultan Zainal Abidin I digantikan oleh putera baginda, Ku Tana Mansur dengan gelaran Sultan Mansur I pada tahun 1733, ketika berusia 7 tahun. Baginda memerintah Terengganu sehingga tahun 1794. Pada tahun 1739, Sultan Mansur Shah I berkahwin dengan Raja Bulang anak Daeng Chelak, Yamtuan Muda Johor Kedua. Berikutnya, baginda berkahwin pula dengan Raja Bakul, putera Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Ketika menduduki takhta kerajaan Terengganu, Sultan Mansur I telah menghabiskan empat belas tahun (1746–1760) daripada masa pemerintahannya di Riau, terlibat dalam persaingan di antara orang Melayu dengan orang Bugis. Apabila pulang ke Terengganu pada 1760, baginda terlibat pula dalam politik Kelantan membantu Long Yunus, Putera Long Sulaiman Ibni Long Bahar, Yang DiPertuan Kelantan menduduki takhta kerajaan Kelantan pada tahun 1776.
Sultan Mansur I digantikan oleh puteranya, Sultan Zainal Abidin II (1794–1808). Pada masa pemerintahan baginda, berlaku peperangan dengan Kelantan yang dipimpin oleh Long Mahammad Ibni Long Yunus, Raja Kelantan. Terengganu dikalahkan dan seterusnya Kelantan berjaya membebaskan diri daripada naungan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh beberapa sultan, termasuknya Baginda Omar.
Baginda Omar pernah menduduki takhta kerajaan Terengganu pada tahun 1831 mengantikan Sultan Daud. Tetapi baginda diturunkan daripada takhta kerajaan oleh Tengku Mansur dan seterusnya sebagai Sultan Mansur II. Sultan Mansur II digantikan oleh putera baginda, Sultan Muhammad. Pada tahun 1839, Baginda Omar berjaya mengalahkan Sultan Muhammad dan seterusnya menduduki takhta kerajaan Terengganu. Ketika pemerintahan baginda, Terengganu berkembang maju.
Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan "Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Seterusnya takhta kerajaan digantikan oleh Sultan Muhammad Shah II (1918–1920) dan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah (1920–1942).


Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhun Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan Terengganu ke-16 yang memerintah negeri Terengganu sekarang.
Menurut "Warta Chahaya Timor No. 38" bertarikh 29 September 1942, apabila Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah telah mangkat pada 26 September 1942, Tengku Ali, yang dirujuk sebagai putera sulung baginda telah dilantik sebagai "Pemangku Sultan Sementara" oleh pihak pentadbiran Jepun pada 29 September 1942. Seterusnya Tengku Ali telah diberikan gelaran "Sultan" pada 30 September 1942 oleh Syuckokan atau Gabenor Jepun. Walau bagaimanapun perlantikan ini dinyatakan tidak menurut "Undang-Undang Diri Bagi Negeri Terengganu" 1911.
Tengku Seri Paduka Raja, Tengku Ismail diisytiharkan sebagai Sultan Terengganu pada Ahad, 16 Disember 1945. Baginda seterusnya ditabalkan pada tahun 1949 dengan gelaran "Sultan Ismail Nasaruddin Shah". Sultan Ismail Nasaruddin dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong ke–6 dari 21 September 1965 hingga 20 September 1970. Dalam tempoh itu, Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahmud dilantik sebagai Pemangku Raja Terengganu. Apabila Sultan Ismail Nasaruddin Shah mangkat pada tahun 1979, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Duli Yang Teramat Mulia Yang Dipertuan Muda Tengku Mahmud. Baginda menduduki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mahmud mangkat pada 15 Mei 1998 di Singapura. Dengan itu, takhta kerajaan Terengganu digantikan oleh putera baginda, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Geografi Terengganu



Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak diantara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50. Di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Keluasan negeri Terengganu sekarang kira-kira 1,295,638.3 hektar / 1,295,512.1 hektar. Jaluran pantainya menganjur sejauh 225 kilometer dari Utara ( Besut ) ke selatan ( Kemaman ). Sebelum tahun 1947 terdapat sembilan daerah di Terengganu; Kuala Terengganu, Kemaman, Kemasik, Paka, Dungun, Marang, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu. Daerah dalam negeri Terengganu dikurangkan kepada enam: Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun, Marang, Hulu Terengganu dan Besut. Kemudiannya pada 1 Januari 1985, sebuah daerah baru iaitu Setiu telah dibentuk dan menjadikan daerah ketujuh di Negeri Terengganu. Tiap-tiap daerah ini ditadbirkan oleh Pegawai Daerah. Keluasan daerah tersebut adalah: Kuala Terengganu 60,654.3 hektar; Kemaman, 253,559.9 hektar; Dungun, 273,503.1 hektar; Marang, 66,654.3 hektar; Hulu Terengganu, 387,463.6 hektar, Setiu, 130,436.3 dan Besut, 123,367.8 hektar. Bandar-bandar utama di Terengganu adalah Bandar Kuala Terengganu (ibu negeri), Chukai, Kuala Besut, Rantau Abang dan Kuala Dungun.

Terengganu




Negeri Terengganu Darul Iman adalah salah sebuah negeri dalam Malaysia. Terengganu terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Ia terletak di antara garisan bujur 102.25 dengan 103.50 dan garisan lintang 4 hingga 5.50 . Di bahagian utara dan barat lautnya bersempadan dengan Kelantan manakala di bahagian selatan dan barat daya pula bersempadan dengan Pahang. Keluasan negeri Terengganu ialah 12,955 km2.